KENAPA TAK KURUS-KURUS DAN GEMUK SEMULA?

photogrid_1487321558041Bukan senang nak jadi senang dan bukan susah nak jadi susah

Begitulah hakikat. Bukan senang nak jadi kurus dan bukan senang nak turunkan berat badan yang berpuluh-puluh kilo itu dan lebih parah, hanya untuk sementara dan badan jadi gemuk semula hanya beberapa ketika sahaja. Sering saya perkatakan, bukan semua orang kurus itu sihat tetapi orang gemuk semua confirm tak sihat. Pahit untuk ditelan tapi itulah hakikatnya.

Saya telah banyak melihat “Kejadian Sebenar” mereka yang berusaha bersungguh-sungguh berbulan-bulan malah bertahun-tahun untuk menguruskan berat badan, tetapi badan masih lagi tidak kurus-kurus. Dan lebih malang ramai juga yang menjadi gemuk semula, malah lebih gemuk dari saiz mereka sebelum ini. “Gemuk itu Awesome”, hanya orang-orang yang tidak ada harapan sahaja yang keterpaksaan akan berkata-kata begitu (sambal termengah-mengah).

Saya berani mengatakan begitu kerana saya pernah obesity dan mengalami penyakit berkaitan berat badan dan berpotensi untuk penyakit kronik yang lebih teruk (sila lihat posting saya sebelum ini). Saya faham sangat perasaan dan tekanan yang mereka ini hadapi dan apabila melihat hasil penurunan yang tidak mencapai, apa lagi sisa-sisa perjuangan yang tinggal dengan masa, wang dan tenaga yang telah dikorbankan.

Tetapi mungkin selama ini anda masih kurang jelas dan kurang sampai matlamat sebenar kenapa journey anda ini terbengkalai dan sia-sia? Umpama sebuah karya palsu yang tidak indah langsung. Usang di luaran dan kontang di dalamannya. Pedih dan pilu, namun itu adalah realitinya.

Justeru mari kita muhasabah diri, check & balance, what went wrong dan apakah yang sepatutnya anda lakukan.

 

KEY SALIENT POINT:

  1. Pengetahuan yang Tidak Jelas

Majoriti yang hendak kurus hanya memasang impian untuk kurus semata iaitu turun berat badan tanpa mengambil kira isu kecergasan dan faktor-faktor utama yang lain. Mereka masih tidak tahu tentang BMI, DCR, BMR, kira Kalori, tidak tahu fisiologi tubuh badan dan tahap kesihatan mereka yang sebenar. Jadi kesudahannya aktiviti yang dilakukan selalu hangat-hangat tahi ayam akibat mengikut-ikut orang sahaja dan berpandukan bacaan kurang jelas melalui media-media sosial lain. Mereka tidak benar-benar memantau berat badan, lemak, otot, air dan parameter-parameter penting yang lain. Mereka juga tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan diet pemakanan yang seimbang dan eat clean. Tambahan, ada di antara mereka mula memikirkan jalan mudah seperti pengambilan ubat-ubat kurus, krim, produk kesihatan/kecantikan dan macam-macam lagi yang sememangnya memerlukan kos tambahan yang tinggi, serta banyak dan menimbulkan kos maintenance lain kerana kebergantungan terhadap produk-produk ini. Saya bersyukur di dalam journey saya, setitik ubat-ubat seperti ini  saya tidak sentuh langsung. Kalaulah semua orang tahu, betapa mudah dan indahnya menurunkan berat badan secara natural tanpa produk-produk yang berlambak di pasaran saban hari, memang bungkus semua syarikat-syarikat ini tak boleh cari makan.

2.  Tiada Matlamat/Goal Jangka Masa Panjang

Harus diingat, journey ini bukanlah satu destinasi. Tapi ia adalah satu perjalanan indah yang sangat panjang tiada berpenghujung untuk dinikmati, jika anda tahu. Kerana destinasi sebenar tidaklah begitu penting, tapi  strong journey yang dinikmati adalah habuan ke atas segala usaha dan keringat yang kita korbankan demi menjalani satu gaya hidu sihat, demi Keluarga Tercinta. Kesihatan adalah satu anugerah terindah dari Allah dan untuk apa harus kita musnah dan abaikan. Untuk itu, pemilihan aktiviti nanti sangat-sangat penting. Anda boleh buat apa sahaja yang anda minat dan berupaya yang boleh dilakukan di mana sahaja, bila-bila masa, dengan sesiapa dan mengikut kemampuan bujet anda, untuk jangka masa panjang. Saya telah memilih aktiviti Running sejak memulakannya. Running adalah Lifetime Sport dan semua orang boleh run, tanpa memerlukan spesifik skill dan ia PERCUMA. Degan Running, saya boleh menetapkan matlamat jangka masa panjang saya, seperti menyertai Larian dan Kemuncaknya ialah berlari dalam acara Full Marathon (boleh rujuk postng saya sebelum ini, Why I Run?). Kerana apa yang penting dengan aktiviti yang anda pilih, perlulah ada kesinambungan dan maintenance yang berterusan dan berkala. Kalau anda pilih Zumba dan Badminton misalnya, anda masih perlukan rakan-rakan atau kumpulan untuk melakukannya. Dengan running, anda boleh lakukan dengan bersendirian sahaja, dimana jua dan bila-bila masa asalkan tidak hujan. Saya juga masih workout di gym sekurang-kurangnya sekali seminggu atau senaman strength seperti Move-Play, HIIIT, Tanggathon tak kira di mana, outstation atau di rumah. Hendak seribu daya, jiwa kena kental, hati kena kuat dan keluarlah dari zon selesa anda. Terus terang saya katakan, saya sendiri sudah lama tidak menonton tv dengan begitu lama sekarang. Masa luang yang ada selain training, saya lebih gemar bersantai dengan keluarga dan recovery.

  1. Program Kurus Badan

Lambakan program-program kurus yang sedia ada di pasaran sekarang adalah satu perkembangan yang sangat sihat melihatkan Malaysia  sebagai salah satu Negara yang paling obesity  di Asia. Keobsesan rakyat Malaysia yang gemuk untuk jadi kurus semakin bergelojak namun tidak ramai yang berani untuk mengambil langkah pertama untuk bertindak. Mungkin kerana terlalu sentimental sayangkan lemak dan kolestrol  yang ada, atau mereka memang tidak hiraukan keluarga mereka  apabila mereka menderita didatangi penyakit akibat kegemukan itu. Jika diteliti, program-program seumpama ini yang berdurasi kira-kira 6-8 minggu lebih kepada pencetus kesedaran bagi mereka yang beginner mahu kurus. Tidak banyak program seumpama ini yang mampu mengemukakan secara komprehensif data-data & statistik succession rate peserta-peserta mereka sejak sekian lama. Secara logik, pengusaha program ini juga adalah usahawan & peniaga dan prospek mereka adalah mereka yang gemuk. Lantaran jika ramai sangat orang yang kurus, mana mungkin prospek mereka boleh mudah dicari begitu sahaja. Lalu termeterailah seolah kontrak program kurus lanjutan berbulan-bulan lamanya sehingga mereka benar-benar kurus. Yang menamatkkan program sebelum kurus sudah pasti akan kembali gemuk sediakala kerana tidak diberi kemahiran dan pengetahuan tentang long term goal dan maintenance aktiviti seperti yang saya nyatakan tadi. Aktiviti mereka lebih banyak di gym dan terdapat segelintir yang kreatif membawa ke outdoor aktiviti. Namun dalam sesetengah kes, ada Leader atau So-called Coach tidak ada kelayakan dan tauliah tentang fitness, diet atau aktiviti kecergasan. Main tangkap muat dan lebih malang, ada yang gemuk gedempol tapi ada hati nak kuruskan orang? Jadi apa alasan untuk itu? Namun jangan bimbang, hal seperti ini sangat-sangat terpencil dan tidak terlalu berleluasa. Kesimpulannya, program seperti ini memang bagus dan digalakkan tetapi perlu mencari Coach yang benar-benar berkaliber dan mempunyai pelan jangkamasa panjang dan mampu menyediakan personalize program kepada setiap peserta kerana situasi setiap kegemukan orang itu berbeza kategori.

  1. Membina Kekuatan Dalaman

Kesihatan dan kecergasan bukan hanya di luaran semata. Jika itu yang berlaku, maka jangan terperanjat jika anda boleh jadi gemuk kembali atau tidak boleh kurus sampai bila-bila. Semasa saya dalam tempoh 5 bulan yang ketat untuk menguruskan berat badan, saya sedaya upaya hendak elakkan diri bila menempuhi Cheat Day.  Secara sikologinya, Cheat Day ini adalah alasan dan perosak kepada segala usaha yang telah anda kerjakan selama seminggu tersebut. Memanglah kita ni manusia biasa, ada hati, perasaan dan nafsu serakah nak makan sedap-sedap. Takkan sehari pun tak boleh? Tapi anda perlu jelaskan juga, hidup dah berpuluh tahun. Tak puas-puas lagi ke makan tu semua? Mengikut prinsip, anda perlu jaga makan dan senaman berkadaran 70:30 jika hendak kuruskan badan. Saya setuju tapi ramai yang tidak berjaya kerana 30% untuk senaman tidak dilakukan secara berkualiti. Tapi selepas 5 bulan saya mendapat berat ideal, kini nisbah kadar saya telah berubah ke 50:50. Bukan lama sangat pun. Indahnya kehidupan saya kini. Cepat atau lambat anda hendak kurus terlatak pada diri anda sendiri. Kerana itu, anda harus membina kekuatan dalaman yang sangat kuat. Dengan pengorbanan, komitmen dan dedikasi. Semua itu tiada yang mustahil dan tiada jalan pintas.

  1. Motivasi & Dorongan

Anda perlu tanya diri anda sendiri, kenapa aku perlu kurus? Untuk siapa? Kurus itu bukan salah genetik dan anda ada pilihan sebenarnya untuk tidak gemuk. Orang yang gemuk dan tidak sihat akan kelihatan lebih tua dari  usia sebenarnya. Ini fakta dan telah berlaku kepada saya dulu. Keluarga saya semua ada sejarah keturunan kencing manis dan athma. Ibu saya dan makcik saya meninggal dunia kerana kencing manis. Kenapa perlu saya salahkan mereka jika saya menghidapi  kencing manis dan athma? Ketika gemuk, saya sering diejek seperti “Kilang Peluh” kerana peluh tak henti-henti mengalir walau sedang duduk di dalam bilik berhawa dingin. Dan sekarang, saya memang lambat panas, tidur setiap malam kalau berhawa dingin mesti nak pakai jaket. Begitu juga ketika memandu, tak tahan kalau air-cond kuat sangat. Harap anda pula tak panas membaca bahagian ini. Saya juga sangat gemar gunakan media sosial (Instagram) untuk berkongsi minat saya dalam Photography. Kalau badan dah gemuk, sakit mata nak tengok. Jadi terpaksalah hanya mampu tunjuk gambar tangan, kasut atau muka sahaja. Kalau nak full scale mesti kena tahan nafas macam pakai bengkung. Oleh itu, anda perlu ada motivasi paling kuat jika anda mahu benar—benar kurus atau tidak kembali ke lembah kegelapan, hidup dalam kegemukan. Sebagai Single Working Husband & Father, tanggungjawab saya sangat besar. Saya perlu selalu kekal sihat dan dihindari “Penyakit—Penyakit Orang Kaya” yang sebenarnya boleh dicegah jika ada kemahuan dengan mengamalkan Gaya Hidup Sihat. Sekarang, fikirkan pula motivasi anda.

Sesungguhnya, kematian itu satu ketentuan Ilahi. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira tua, muda, gemuk atau kurus. Tetapi, dengan menjaga kesihatan, sekurang-kurangnya kita telah memainkan peranan yang utama memelihara satu-satunya anugerah yang diterima secara percuma untuk hidup dengan lebih bahagia, positif dan kuat secara dalaman. Janganlah sampai nanti sudah terhantuk baru terngadah Sahabat. Fikirkanlah insan-insan tercinta yang mengambil berat tentang kita, sedang kita mungkin leka dan alpa sedang memeluk tubuh, mengunyah makanan segera, terbongkang 24jam depan tv dan main video game, berdebar menanti saat itu akan tiba. Tidak percaya? Pergilah buat pemeriksaan kesihatan dan lihat apa laporan menyatakan. Lebih-lebih lagi mereka yang melangkaui usia 35 tahun ke atas.

Semoga sedikit perkongsian ini boleh jadi pedoman

Menjaga Kesihatan itu Adalah Satu Gaya Hidup
Ia sangat Mudah dan Murah
Kerana Mencegah lebih baik dari Mengubat
Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah

 

“Hard Work & Istiqomah”

 

 

 

 

 

3 Comments

  1. Satu kenyataan yang menarik.. jujur dan benar.. memang perlu tanya diri.. nak kurus untuk sape sebenarnya.. itu kunci utama.. sebab ia adalah sumber kekuatan untuk kite terus sihat dan berubah dan seterusnya ISTIQOMAH..

    Like

Leave a comment